Sabtu, 29 Julai 2017

Aku Bukan Feminim 2


            Aku, Ayun dan Maya. Kami bertiga sudah seperti adik-beradik. Sama-sama hidup berjauhan daripada keluarga membuatkan kami lebih menghargai keluarga kecil yang berada di hadapan kami. Sama-sama saat susah dan senang biarpun kami berlainan watak.

“Mira.” Maya memanggil.

“Hmm?” Sambil lewa sahaja aku jawab. Mata langsung tidak berganjak dari muka surat novel yang aku baca. Seronok baca novel sambil meniarap atas katil. Lebih-lebih lagi bila semua pensyarah belum melancarkan misi score A dengan tugasan-tugasan harian dan mingguan.

“Kau baca apa tu?”

“Novel,” balas aku tanpa melihat Maya yang berada di tingkat atas katil Ayun.

“Aku bosanlah,” kata Maya.

“Dah tu nak buat apa?” soalku. Masih lagi tidak mengangkat wajah.

Maya tidak membalas. Suasana senyap seketika. Hanya tinggal kami berdua dalam bilik. Novel yang sudah separuh buku itu aku tutup selepas ditanda. Katil Ayun aku pandang. Beralih pula pada meja belajar Ayun. Gadis itu tiada ditempatnya.

“Mana Ayun?”

Maya angkat bahu, “tak tahu. Dari tadi tak balik-balik.”

Tolakan pintu dari luar mengejutkan aku dan Maya. Seperti diseru, wajah Ayun tersembul dimuka pintu. Sungguh tak sopan anak dara tu. Tak ada salam nak masuk bilik. Aci redah sahaja.

“Terkejut aku!” marah aku kepada Ayun. Gadis itu hanya tersengih dan menjatuhkan punggungnya di atas lantai yang dilapisi tikar getah.
“Woi, Ayun!” Suara nyaring Alun memecahkan suasana sepi di dalam bilik kami. Alun bertubuh kecil, tinggi dan ayu. Cukup lengkap untuk pakej wanita idaman. Hanya sahaja perangai gila-gilanya yang sudah berjaya disebarkan kepada kami bertiga. Bagaimana aku boleh tahu? Aku kenal Alun sewaktu kursus Persada anak Felda di UPM Serdang. Umur dia beza satu tahun daripada kami bertiga. Kami bertiga lepasan matrikulasi manakala Alun lepasan STPM. Tapi aku segan sendiri nak panggil dia kakak.
“Woi, kau dah habiskan stok biskut aku.... kau blah macam tu je,” kata Alun sambil menepuk bahu Ayun.
“Dah biskut kau tinggal sikit. Aku habiskanlah.” Selamba sahaja Ayun berkata.
“Kau makan kat bilik dia, Yun? Apesal tak ajak? Sampai hati,” kata aku menyampuk.
Ayun dan Alun dah macam adik beradik sebenar dah. Rupa pun lebih kurang. Sesuailah sangat Ayun panggil Alun kakak.
“Entah tu. Kitorang dah kebulur dah.” Maya pula menyampuk. Kami berdua pandang Ayun macam nak gaduh.
“Ala... nanti petang kita cari makanan eh?”
“Kat mana?” aku menyoal.
Kolej Gemia kami tiada kafeteria seperti kolej-kolej lain. Kafeteria itu ada hanya sahaja kafe itu tidak berfungsi seperti yang diharapkan. Jadi jika hendak membeli makanan kami harus menjelajah ke kafeteria yang terdekat. Itupun jika kafe buka.
Hujung minggu hari yang mencabar buat kami. Kafeteria yang terdekat tutup. Maka kami perlu berjalan selama 30 minit jika berjalan lenggang-kangkung untuk sampai ke satu-satunya kafe yang berada di kawasan pantai. Mujur sahaja ada basikal. Jimatlah masa.
“Pergi kapas nak? Beli masakan panas,”
“Aku kirim,” laju Alun berkata.
Aku memandang Alun yang masih duduk di lantai. Jelingan tajam mula dilancarkan kepada gadis kelahiran Jengka itu. Laju mulut aku berkata, “ah, tak ada tak ada. Kau kena ikut sekali. Tak ada kirim-kirim.”
“Ish, dia ni kan....” Alun memprotes tidak puas hati dengan aku. Alun memang menjadi kawan gaduh aku sejak menjadi geng kami bertiga. Sudah macam anjing dan kucing bila aku dan Alun bila berjumpa. Tetapi kami hanya gaduh-gaduh sayang. Orang sahaja salah sangka. Perwatakan aku bila di laur automatik sopan mengalahkan perempuan melayu terakhir. Hanya mereka yang kenal aku tahu bagaimana perwatakan aku. Diam-diam mulut macam tiada insuran.

“EH, mana basikal aku?” Maya menyoal. Hairan apabila basikal yang selama ini diguna-pakai untuk ke kelas setiap hari tiada di tempatnya.
            “Kau letak mana haritu?” Ayun menyoal. Kami berempat mendekati Maya yang masih termenung memerhatikan tempat kosong di sekitarnya.
            “Mana tahu kau salah letak ke? Basikal semua serupa je,” kata Alun pula. Hampir semua basikal yang diletakkan di kawasan parking ini sama bentuk dan warna. Hanya basikal aku sahaja lain kerana aku beli basikal sendiri sewaktu hari pendaftaran di bandar.
            “Tak... memang aku letak sini. Aku dah kunci haritu. Entah hantu manalah yang pakai tak ada kebenaran. Suka hati je,” kata Maya dengan geram. Tangan sudah diletakkan dipinggang. Begitu juga dengan Ayun dan Alun. Aku pula memeluk tubuh.
            “Basikal kau ada nama kan? Apa kata kita check satu-satu basikal kat sini.”
            Tiga pasang mata memandang aku lepas aku habiskan cakap. Sebelah kening diangkat walaupun jauh dari mampu untuk mengalahkan kening Ziana Zain. “Tengok je,” kata aku.
            “Yelah, yelah. Usaha,” Ayun menyahut. Dengan paksa rela dia menurut. Setiap seorang ambil satu bahagian. Aku dan Maya di garaj manakala Ayun dan Alun di kawasan sekitar.
            “Tak ada pun Maya. Agaknya memang ada orang gunalah basikal kau,” kata aku selepas melihat setiap satu basikal yang berwarna merah yang berada di bawah garaj.
            “Maya, basikal kau ada kat sini!” suara nyaring Alun menerjah gegendang telinga aku dan Maya. Alun dan Ayun berada tidak jauh daripada kami berdua. Mereka berada di parking yang tidak berbumbung. Aku dan Maya bergegas menuju ke tempat Ayun dan Alun.
            “Basikal kau kan?” Ayun menyoal.
            Maya tidak menjawab. Gadis untuk menilik dahulu basikal yang disangkakan miliknya. Spot check dulu. Ada tempat rahsia yang diletakkan nama Maya pada basikal itu.
            “Betullah, basikal aku. Terima kasih Ayun!”
            Wajah Maya yang tadinya mendung serta-merta kembali ceria.  Aku, Ayun dan Alun tersengih sahaja melihat Maya. “Okey, jom kita beli makanan.”

“KAU nak makan apa Mira?” Maya menyoal aku yang sedang khusyuk lihat menu di kaunter. Semakin lama aku tengok semakin susah aku nak pilih menu. Hipotesis sangat!
            Wajah Maya yang sedang serius menunggu aku pilih makanan kelihatan seram. Sabar sahaja dia menunggu aku memilih ikut selera tekak aku. Melihat wajah serius Maya membuatkan aku tersenyum lebar tanpa rasa bersalah. “Aku tak tahulah Maya,” kata aku dengan selamba. Punyalah lama berdiri untuk tulis menu sahaja. Ayun dan Alun yang sehati sejiwa sudah selamat menempah makanan.
            “Hish, lama-lama tenung benda tu rupanya dia tak tahu nak makan apa,” sela Alun yang masih berdiri di kaunter menunggu makanan siap. Kesian kerusi meja di dewan makan ni tak berguna, terasa tidak diperlukan lagi khidmatnya.
            “Maya kau orderkan dia mi hong kong je. Biar padan muka dia,” kata Alun lagi.
            “Bolehlah Maya. Kau tuliskan mi hong kong je,” balas aku, dah malas nak tengok menu.
            Maya menulis sesuatu di atas kertas kecil sebelum diserahkan kepada tukang ambil menu yang baru keluar dari dapur selepas Maya menekan loceng.
            “Esok pagi nak makan apa?”
            “Esok kan ada kelas. Makan sebelum masuk kelaslah,” ujar Ayun.
            “Malas aku pergi ‘star bucks’ tu. Dah lah ramai,” aku merungut. Selama jejakkan kaki ke alam kampus ni hanya sekali dua sahaja aku membeli di kedai kecil yang berada di bangunan kelas kami. Bukan menyombong tidak mahu membeli hanya sahaja tempat itu selalu sahaja penuh. Tidak kira pagi atau tengah hari. Aku hanya singgah di kedai itu untuk membeli air waktu petang sebelum ke aktiviti kokurikulum.
            “Tak apalah aku nak beli roti. Malam-malam nanti boleh makan,” kata aku. Kemudian aku bangkit dan menuju ke rak roti. Maya juga mengikut aku tetapi menuju ke tempat lain iaitu rak kerepek.
            “Kau beli apa Maya?”

            “Kerepek. Buat kudapan malam-malam.” Maya dengan aku memang sekepala kalau bab makanan. Kami berdua akan sentiasa berkongsi apa-apa sahaja kecuali pakaian. 

Sabtu, 8 Julai 2017

Aku Bukan Feminim 1

‘SELAMAT DATANG KE TERENGGANU.’ Aku membaca ucapan selamat datang yang tertera pada pintu gerbang negeri Terengganu. Pertama kali menjejakkan kaki ke negeri yang terkenal dengan keropok losong ini demi menuntut ilmu. Dari Johor ke Terengganu, satu perjalanan yang panjang dan melelahkan. Bertemankan mak dan saudaraku seramai tiga orang. Kami menginap di Kuantan dan meneruskan perjalanan ke Dungun awal pagi tadi. Aku masih memandang ke luar tingkap. Jauh memikirkan kehidupan yang pertama kali berada jauh di negeri orang dalam pada usia 19 tahun.